Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Berkereta mewah, bergaya dan penuh keyakinan. Itulah personaliti yang
ada pada seorang perunding kewangan dan saham amanah yang berjaya.
Siapa yang tidak mahu semua itu, hanya usaha dan kesungguhan
membuatkan seseorang itu boleh ke tahap tersebut dan memiliki kereta
mewah.
Untuk menceburinya dan merasai ‘jiwa’ kehidupan seorang perunding
kewangan, agak belum terlambat terutama bagi graduan yang baru tamat
pengajian, pekerja yang diberhentikan kerja akibat pergolakan ekonomi
global dan mereka yang ingin ‘berperang’ dalam dunia saham.
Dilaporkan, bermula pertengahan tahun lalu sehingga kini, ramai
pekerja terutama dalam sektor pembuatan dibelenggu rasa bimbang hilang
pekerjaan ekoran kegawatan ekonomi global yang kesannya turut dirasai
Malaysia.
Apatah lagi, pada akhir Disember lalu, dilaporkan seramai 4,749
pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan
pertama tahun ini.
Keadaan itu turut mengundang kebimbangan dan ketakutan di hati
tentang bagaimana untuk meneruskan kehidupan tanpa pekerjaan dan
pendapatan.
Begitu juga dengan graduan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA),
dan berpuluh-puluh lagi di IPTS (swasta). Semua lepasan IPTA dan IPTS
ini akan berebut-rebut memasuki alam pekerjaan yang semakin terhad.
Jadi, sesuatu perlu dilakukan.
Golongan ini harus memikirkan untuk menceburi bidang-bidang yang
bukan semata-mata makan gaji di sektor swasta, syarikat multinasional
atau kerajaan.
Mereka kini harus beralih angin sebagai perunding kewangan dan saham
amanah yang mempunyai masa depan yang cerah dan menjanjikan pendapatan
yang lumayan serta sekali gus membaiki kehidupan dan ekonomi mereka.
Saham amanah ialah suatu bentuk pelaburan yang kurang risiko
berbanding dengan pasaran saham biasa. Saham amanah yang dilaburkan ke
pelbagai sektor pelaburan seperti pasaran saham di Bursa Malaysia, bon,
sekuriti kerajaan, simpanan tetap dan lain-lain pelaburan beretika yang
diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
Saham amanah amat baik jika dilaburkan untuk jangkamasa yang lebih
panjang dari tiga tahun untuk tidak terdedah kepada risiko pasaran saham
yang turun naik, sesuai untuk mereka yang ingin merancang kewangan
untuk persaraan atau pendidikan tinggi anak-anak.
Kelebihan
Ketua Pegawai Eksekutif Charisma Strategy Sdn. Bhd., Hazfina Mohd.
Tahir atau lebih dikenali sebagai Fiona berkata, banyak kelebihan yang
dikecapi sebagai perunding kewangan. Namun yang penting ialah usaha yang
tidak berbelah bahagi dan cintakan kepada kerjaya tersebut.
Menurutnya, sebagai perunding, dapat membantu ramai masyarakat
Malaysia membuat pelaburan yang beretika dengan bank yang terkemuka dan
merancang kewangan demi masa hadapan persaraan di hari tua.
“Kami dapat memberikan perkhidmatan nasihat untuk merancang kewangan.
Itulah kepuasan yang sebenarnya dalam karier,” katanya ketika ditemui
baru-baru ini.
Bagi perunding saham amanah, Mohd. Shafri Mastor, 30, dan Roziana
Abdullah, 26, memberitahu, mereka mendapat kepuasan dari segi hubungan
erat antara konsultan dan pelanggan di mana sekarang ini pelanggan
menjadi sahabat mereka.
“Karier kami lebih kepada menjadi usahawan, jika kami bekerja lebih
gigih, kami mendapat ganjaran komisen yang lebih di mana kami dapat
meningkatkan ekonomi diri dan keluarga kami. Tiada had untuk kami
mendapat pendapatan, semuanya terpulang pada diri sendiri untuk mendapat
pendapatan yang lebih mewah,” kata bekas pegawai pemasaran dan
jurujual.
Menurut Sanorita Jaafar, 35, dan Farina Hussin, 28, kedua-duanya
bekas setiausaha, mereka mengecapi kebahagiaan hidup kerana kepuasan
menjadi seorang wanita yang berjaya dalam karier dan juga rumah tangga.
“Ini adalah kerana karier kami memberi masa yang fleksibel, dapat
mengatur masa yang berkualiti dengan anak-anak dan suami dan berpeluang
kenaikan pangkat yang cepat dan mudah,” kata Sanorita yang kini
berpangkat Agency Supervisor.
Bagi diri Junaina Ahmad Tbarani, 33, dan Noraspadalila Omar, 34,
mereka kini menjadi Pengurus Agensi Kumpulan pada usia yang sangat muda
dan mempunyai agensinya sendiri yang telah dan akan dibuka pada Mac ini.
Menceburi bidang ini turut memberi peluang menghadiri banyak kursus motivasi diri dan pembinaan insan atau self development.
Menurut Arma Wahab, 25 dan Nurul Haizum Naim, 24, mereka kini menjadi
seorang yang amat positif, berkeyakinan tinggi dan berfikiran matang
dibandingkan sebelum menyertai bidang ini, bahkan hidup lebih bahagia.
“Ia seronok kerana tiap-tiap hari adalah sesuatu yang baru, kami
berpeluang berjumpa dengan ramai orang di luar sana. Bahkan, syarikat
memberi insentif menghadiri konvensyen keluar negara kepada konsultan
yang gigih,” ujar bekas pereka grafik.
Cabaran
Sementara kata Fiona, setiap pekerjaan mempunyai cabarannya, begitu juga dengan perunding kewangan.
Ini kerana bidang pelaburan amanah saham masih baru di negara ini dan
tahap kesedaran rakyat Malaysia yang masih kurang menyebabkan ada yang
ragu-ragu atau menolak khidmat untuk persediaan merancang kewangan untuk
persaraan mereka.
“Kerjaya ini agak mencabar untuk berhadapan dan meyakinkan orang
ramai, jika tidak mempunyai disiplin diri, semangat yang kental dan
tidak mempunyai visi hidup, boleh membuat seseorang perunding itu
mengalah,” katanya.
Justeru itu, kata wanita yang berwajah lembut tetapi berhati waja,
syarikat saham amanah miliknya yang di bawah naungan bank terkemuka,
semakin berkembang maju.
” Kami mencari mereka yang mempunyai motivasi diri yang tinggi, berdisiplin, rajin dan ingin mempunyai pendapatan yang tinggi.
“Kami juga ingin menolong memberi peluang pekerjaan kepada mereka
yang hilang pekerjaan, atau graduan-graduan yang masih menganggur
ataupun lepasan sekolah.
“Syarikat kami membuat siri jelajah pengambilan pekerja-pekerja di
seluruh Malaysia bermula pada 17 Februari, jam 8 malam di Grand Ballroom
Eastin Hotel dan seterusnya siri jelajah di seluruh Malaysia. Sebarang
maklumat, sila hubungi 03-71182234. – utusan online
0 comments:
Post a Comment